Allahyarham Mohd Ali Md Salim, 30, salah seorang mangsa nahas pesawat
MH17 merupakan satu-satunya penuntut Malaysia yang terlibat dalam kajian
neurpsiko patologi di peringkat Ijazah Kedoktoran di Universiti Erasmus,
Rotterdam, Belanda.
Justeru tentulah
pelbagai pihak terutamannya pensyarah di universiti tersebut amat merasai
kehilangan seorang bakal pakar psikologi yang baik.
Sebelum terlibat dalam
tragedi MH17, calon Doktor Falsafah itu sedang menyiapkan tesis berkaitan
pembangunan neurpsiko patologi yang secara dasarnya mengenalpasti
bagaimana seseorang individu yang mengalami gangguan saraf boleh mendorongnya
melakukan perkara-perkara berkaitan jenayah.
Menurut sumber, Mohd Ali adalah penuntut
Malaysia pertama yang terlibat dalam kajian seumpama itu di universiti
berkenaan.
"Anda semua memang beruntung kerana dikurniakan anak yang istimewa "- Prof. Ingmar Franken
Profesor Psikologi
Klinikal, Institut Psikologi, Prof. Ingmar Franken berkata: "Kematian Ali
satu kehilangan kepada Malaysia kerana dia bakal menjadi ahli psikologi yang
baik kepada Malaysia," katanya dalam
satu pertemuan antara keluarga Mohd Ali dan pihak universiti kelmarin.
Beliau menyifatkan Ali
seorang penyelidik yang sangat rajin dan memiliki komitmen yang tinggi dalam
penyelidikannya.
"Sejujurnya saya
kagum dengan sikapnya. Beliau gigih sehingga kami sentiasa seronok mencabarnya
membuat beberapa kajian baru bagi melengkapkan tesisnya.
"Cabaran kami
sentiasa disambut dengan senyuman cerianya, itulah Ali. Anda semua memang
beruntung kerana dikurniakan anak yang istimewa," kata-katanya itu
disambut dengan deraian air mata oleh seluruh ahli keluarga Mohd Ali yang
mengunjungi universiti berkenaan.
UNCLE Jo bersama keluarga Allahyarham Mohd Ali Md Salim mengemaskan barangan-barang milik Allahyarham untuk dibawa pulang ke tanah air.
Dalam pertemuan hampir
tiga jam itu, keluarga Mohd Ali dibawa melawat ke Tingkat 13, di Institut
Psikologi, yang mana kalungan bunga ditempat di situ bagi memperingati kematian
penuntut tersebut.
Melawat bilik kerja
Mohd Ali di Tingkat 13, Institut Psikologi itu mengundang suasana yang cukup
sayu oleh ahli keluarga dan tiga rakan karibnya.
Meja yang terletak di
tepi tingkap itu dipenuhi buku-buku psikologi dan statistik serta kertas-kertas
penyelidikannya yang tersusun rapi.
Rakan baiknya, Mohamad
Azuwa Mohamed yang turut serta dalam kunjungan itu tidak dapat menahan airmata
apabila melihat sekeping nota kuning yang memaparkan kata-kata semangat yang
diberi kepada Mohd Ali semasa menemui beliau di bilik itu pada tahun lalu masih
terlekat dengan baik di komputer.
IBU Allahyarham Mohd Ali ditenangkan oleh Mohamad Azuwa.
"Inilah sifat
Ali. Sentiasa menghargai kawan-kawan, walaupun sekeping nota yang tidak
seberapa," kata Azuwa yang memberitahu nota kecil itu diberikan sebagai
tanda sokongan moral kepada Mohd Ali untuk menyiapkan tesisnya.
Malah, ada sekeping
kertas tulisannya yang mencatatkan nombor kad pengenalan ibunya.
Di dalam laci dua
tingkat di sisi meja kerja itu pula masih terdapat coklat dan beberapa jenis
biskut.
Pembantu Profesor
Psikologi Forensik, Institut Psikologi, yang juga pensyarah yang membantu Mohd
Ali dalam tesisnya, Sanne van Dongen berkata, biskut dan coklat adalah
kegemaran Ali.
"Dia memang akan mengunyah makanan ini di bilik
ini," katanya.
"Tetapi kalau dia sudah malas berdebat, dia
akan kata ok bos. Perkataan itu saya tidak lagi dengar sejak dia tidak ada di
sini," - Sanne van Dongen.
Sanne yang rapat dengan Mohd Ali berkata, beliau memang terkejut
dengan insiden yang menimpa Mohd Ali.
"Selepas mendengar berita itu, saya berharap ia tidak betul tetapi kita semua tidak dapat menolak takdir," ujarnya sambil mengakui masih terkenang saat-saat berdebat dengan Mohd Ali.
Ceritanya, satu sifat
Mohd Ali yang tidak boleh dilupakan ialah dia satu-satunya penuntut yang akan
memanggilnya bos.
"Saya suka cabar
dia dan dia akan berdebat dengan saya tapi pendekatannya lembut. Tetapi kalau
dia sudah malas berdebat, dia akan kata ok bos. Perkataan itu saya tidak lagi
dengar sejak dia tidak ada di sini," kata Sanne sambil tunduk.
Mohd Ali sepatutnya
menamatkan pengajiannya pada April tahun depan dan menjadi pensyarah di
Universiti Sains Malaysia.
ADIK beradik Mohd Ali Md Salim melihat nota-nota penyelidikan Allahyarham di University Erasmus, Rotterdam, Belanda.
0 Response to "MH17: SEKEPING NOTA KUNING KECIL KATA SEMANGAT MOHD ALI MASIH TERLEKAT DI KOMPUTER RAKANNYA"
Post a Comment