Lawan saja di mahkamah - Rita Rudaini


KUALA LUMPUR: Kemelut dan persengketaan antara Rita Rudaini dan bekas suaminya, Aidil Zafuan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Malah Zafuan menggunakan laman sosial Instagram untuk berkongsi ceritanya mengenai Rita.

Aidil memuat naik foto transaksi wang berjumlah RM2,000 yang diberikan kepada Rita untuk nafkah anak mereka. Aidil turut memuat naik keratan akhbar baru-baru ini bertajuk 'Rita Mengaku Tak Pernah Tuntut Cerai'.

Ia bertambah kecoh apabila Rita menerima ugutan bunuh menerusi komen pengikut Aidil di laman Instagramnya. Rita bagaimanapun sudah membuat laporan polis tiga hari lalu.

"Saya ambil benda ini begitu serius kerana ia membabitkan keselamatan saya dan anak. Tak sangka hanya kerana nak menuntut hak saya dan anak, sampai ada pula yang sanggup buat semua ini.

"Sedih jadinya apabila penat lelah saya seorang diri menjaga anak tidak dihargai langsung. Mana nak jaga anak, bekerja, naik turun mahkamah lagi.

"Saya pun bukan wanita yang bersosial. Saya bersih daripada cerita negatif. Saya cuba terbaik untuk jadi ibu dan bapa yang sempurna untuk anak. Saya melebihkan anak daripada segala-galanya," katanya.

Rita berkata, jika bekas suaminya itu tidak berpuas hati dan rasa diri tidak salah, tak perlulah beliau menggunakan laman sosial untuk bersuara.

"Lawan saja di mahkamah. Kes kami pun masih dibicarakan di mahkamah. Tak payah nak tunjuk di Instagram dan marah-marah tak tentu fasal. Saya sendiri ada bukti banyak tapi tak pernah ditunjuk di Instagram. Semua bukti saya serahkan ke mahkamah.

"Instagram ini bukan boleh buat keputusan siapa betul tanpa salah. Hanya mahkamah yang akan menentukan segala-galanya. Selama ini saya tak pernah cakap dia tak pernah bagi nafkah. Cuma nafkah yang dia bagi selama ini tak mencukupi. Itu saja.

"Jika dia bapa yang baik kepada anak saya, tak perlu dia menafikan apa yang kami minta dan tuntut untuk anak. Jika dia anggap RM2,000 itu satu nilai yang besar dan dia sudah boleh lepas tanggung jawab, memang dia silap," katanya.

Berkenaan dakwaan Aidil yang Rita pernah menuntut cerai, sekali gus berbohong ketika memberikan kenyataan kepada wartawan, Rita mempersoalkan bukti yang Aidil ada.

"Ada ke bukti di mana-mana mahkamah yang saya ada permohonan cerai daripada. Mahkamah sebelum ini pun sudah buktikan yang terdahulu bahawa saya tak pernah nusyuz. Kalau permohonan cerai daripada dia adalah saya terima," katanya.



Rita juga memohon supaya orang yang tidak berkaitan dengan rumah tangga mereka usah masuk campur seperti mereka tahu setiap inci apa yang terjadi.

"Kalau mereka di luar sana nak terus mengeji, mengutuk, dan memfitnah silakan. Saya banyak benda lagi nak fikir. Hanya doa senjata saya untuk mereka. Saya sedar ada mereka yang seronok melihat dia benci saya, sampai nak laga-lagakan kami supaya tak boleh berbaik," katanya.

Sumber : Berita Harian


0 Response to "Lawan saja di mahkamah - Rita Rudaini"

Post a Comment