Beginilah keadaan bilik air tanpa dinding digunakan Azemah serta dua anaknya
DUNGUN – “Mak saya miskin, tak mampu nak beli alat
tulis. Jadi, saya pinjam dengan kawan-kawan. Impian saya kalau ada duit, saya
cuma nak beli alat tulis untuk memudahkan saya buat kerja sekolah.”
Demikian luahan hati adik Intan Syafiqah, 11, seorang
murid miskin yang terpaksa meneruskan persekolahan dalam serba kepayahan kerana
ibunya, Kembang Mohd, 54, yang berstatus ibu tunggal, tidak mampu untuk
menyediakan kemudahan diperlukannya.
Lebih menyedihkan apabila anak bongsu daripada empat
beradik itu kadangkala tidak membawa wang saku ke sekolah sehingga
berminggu-minggu dan hanya bergantung harap kepada Rancangan Makan Tambahan
(RMT) untuk mengisi perut yang kosong.
Syafiqah berkata, kadangkala terdetik di hatinya untuk
menikmati makanan lazat dan kemudahan persekolahan mencukupi seperti murid
lain, namun dia hanya memendamkan hasrat itu setelah memikirkan ketidakmampuan
ibunya.
“Duit ibu ada cuma untuk beli beras sahaja. Jadi, tak
bawa duit ke sekolah pun tak apa, yang penting saya dapat meneruskan
persekolahan.
“Cuma saya sedih sebab tak ada alat tulis yang lengkap
seperti kawan lain. Nak minta dengan ibu, dia tidak mampu beli,” kata murid
tahun lima SK Delong itu.
Kakaknya, Intan Shahirah, 13, yang bersekolah di SMK
Padang Pulut turut menghadapi situasi sama apabila dia gagal menjelaskan yuran
asramanya.
Menurutnya, dia tetap tabah menghadapi situasi itu
walaupun sebagai pelajar perempuan, kegagalan menjelaskan yuran asrama sedikit
sebanyak menjejaskan keyakinannya untuk belajar.
“Kadang-kadang sahaja saya bawa wang saku ke sekolah.
Kebanyakannya, saya pergi sekolah dengan poket kosong.
“Yuran asrama pula banyak tertangguh. Nak suruh ibu
bayar pun dia tidak bekerja, hanya mengharapkan wang bantuan bulanan untuk
bayar yuran. Duit itu juga untuk beli keperluan asas lain. Jadi, saya tak boleh
minta lebih daripada ibu,” katanya.
Kembang bersama dua anaknya tabah walaupun hidup susah
Keadaan dapur rumah Kembang Mohd yang rosak teruk selepas ditenggelami air dalam kejadian banjir besar, tahun lalu
Hanya bergantung bantuan RM200 sebulan
Sementara itu, Kembang berkata, akibat kemiskinan hidup, dia
bersama dua anaknya terpaksa tinggal di rumah kosong peninggalan bekas
suaminya, biarpun rumah tersebut sebenarnya tidak layak dijadikan kediaman
kerana tidak mempunyai kemudahan air dan elektrik.
Menurutnya, dia cuba sedaya upaya untuk keluar daripada situasi
memeritkan itu, namun tidak berkemampuan kerana tidak mempunyai pendapatan
tetap.
“Saya cuma dapat duit bantuan JKM sebanyak RM200 sebulan. Dengan
duit itulah, saya buat belanja anak sekolah dan beli beras.
“Jumlah itu tidak mencukupi, nasib baik sekali-sekala ada jiran
tampil menghulurkan makanan. Jika tidak, kami tiga beranak pasti mati
kelaparan,” katanya.
Kembang juga berkata, dia amat berharap ada insan bersimpati
untuk membantu terutama bagi membaiki rumah peninggalan didiami mereka tiga
beranak itu yang tidak mempunyai pintu dan tingkap bilik air, selain bilik air
serta tandas tidak sempurna.
“Saya sudah beberapa kali memohon bantuan rumah daripada pihak
berkenaan, namun sehingga kini permohonan itu masih tidak mendapat maklum balas
sewajarnya.
“Kini saya hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti, kehidupan
kami sekeluarga akan berubah,” katanya.
0 Response to "Luahan hati adik Intan Syafiqah 11 tahun, seorang murid miskin di Terengganu"
Post a Comment