Misteri kehilangan seorang bekas guru Kelas Fardu Ain
(Kafa) bulan lalu terungkai apabila penemuan rangka tulang di batas sawah padi
di Kampung Cherang Hangus, di sini, disahkan sebagai wanita terbabit.
Rangka mayat Norhayati Mat Ripin,38, ditemui seorang
pemandu mesin padi yang baru sahaja memulakan tugas memesin padi kira- kira jam
12 tengah hari semalam.
Ibu mangsa, Ramlah Mohd Nor,61, berkata, dia hanya
mengetahui kejadian tersebut selepas dimaklumkan pemandu mesin padi berkenaan.
“Pemandu mesin padi itu pekerja anak makcik, Mohd
Ridhuan, 39, yang memiliki mesin padi tersebut.
Selepas menemui rangka dan pakaian mangsa, beliau
terus datang ke rumah ini dan memberitahu Mohd Ridhuan.
“Rasanya sudah genap sebulan dia hilang. Kami semua
puas mencarinya merata tempat. Rupanya dia hanya berada beberapa meter dari
kami selama ini. Makcik reda dengan kejadian yang menimpa ini dan tidak tahu
mengapa dia boleh meninggal dunia dalam keadaan sedemikian kerana setahu makcik
dia tidak pernah ke seberang sawah sana sebelum ini,” katanya kepada Sinar
Harian semalam.
Sinar Harian 27 April lalu menyiarkan permintaan
Ramlah yang merayu orang ramai membantunya mencari anaknya yang dikatakan
hilang selepas menjemur pakaian yang dicuci.
Ramlah berkata berkata, selepas diberitahu penemuan
rangka tersebut, anaknya, Mohd Riduan pergi melihat rangka tersebut mengecam
pakaian dan selipar yang dipakai arwah ketika hari kehilangannya.
“Makcik tidak mengesyaki apa-apa perbuatan khianat
yang berlaku kerana kita tidak nampak apa yang berlaku. Tetapi arwah tidak
menghidap penyakit yang membolehkan dia pengsan sendirian atau sebagainya.
Sebelum ini pun dia sering ke pekan Jelawat dan ke
Kota Bharu untuk mengambil ubat sendiri,” katanya.
Menurutnya, Norhayati atau mesra disapa Ti itu juga
seorang janda yang disahkan menghidap Skizofrenia sejak di tingkatan lima dan
masih mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Anggota polis dan Forensik yang dikejarkan ke lokasi
kejadian terpaksa menaiki mesin padi untuk ke lokasi rangka mayat mangsa
memandangkan ia agak jauh dari jalan utama serta keadaan tanah sawah yang baru
dituai menyukarkan perjalanan biasa.
“Saya tidak sangka pesanan yang pernah dinyatakan agar
tidak mencarinya jika hilang rupanya suatu petanda dia akan pergi selamanya,”
katanya.
Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Ab
Rahim Che Ghani mengesahkan menerima laporan mengenai kes tersebut.
0 Response to "Misteri Kehilangan Ustazah Akhirnya Terjawab!"
Post a Comment