KUALA LUMPUR: Selepas lebih 40 hari kehilangan pesawat
MH370, isteri kepada pramugara Hazrin Mohamed Hasnan atau lebih dikenali dengan
nama Rain, Maizura Othaman hari ini sekali lagi meluahkan perasaannya secara
terbuka melalui rangkaian media sosial, Instagram.
Bagaimanapun, kali ini apa yang ditulisnya lebih
bermotifkan mencari kebenaran yang didakwa disembunyikan oleh pihak tertentu
kepada waris keluarga penumpang pesawat penerbangan MH370 yang hilang pada 8
Mac lepas.
“Hati saya kuat mengatakan suami saya dan yang
lain-lain diculik… oleh sebuah kuasa besar,” tulisnya.
Intan sebelum ini pernah meluah perasaan menerima
kehilangan Rain yang beliau sifatkan “masih ada” dan menyimpan harapan bahawa
suatu hari nanti suaminya akan pulang.
Pada 27 Mac lalu, iaitu 2 hari selepas Intan meluah
perasaannya di dalam media sosial, Astro Awani melaporkan keperitan Intan untuk
menerangkan keadaan kepada anaknya yang bertanya bilakah bapanya akan pulang.
Dalam pada itu, Astro Awani turut dihubungi oleh
seorang waris penumpang MH370 yang dipanggil untuk satu pertemuan bersama
Kementerian Luar dan pihak berkuasa pada Ahad, 20 April lepas.
Dia yang enggan dikenali menyatakan, keluarga waris
seakan-akan tidak boleh mengawal perasaan dan menjerit-jerit sepanjang Timbalan
Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin menjelaskan situasi dan langkah susulan
yang akan diambil berhubung insiden MH370 ini.
“Waktu mesyuarat dengan Hamzah itu memang teruk, gaduh
jerit-jerit di dalam dewan itu,” ujar waris berkenaan.
Katanya, waris juga tidak bersetuju mengenai isu
bantuan kewangan dan sijil kematian yang dikemukakan kementerian.
“Keluarga mahu bukti fizikal, walau jumpa satu `body’
pun jadilah.
“Pada masa itu Intan bangun dan kata, bagaimana hendak
percaya, tidak ada satu bukti langsung. Intan tanya apakah benar pesawat itu
jatuh ke dalam laut dan semua pihak berkenaan senyap seribu bahasa,” jelasnya.
Waris itu turut berada dalam pertemuan tertutup selama
lebih dua jam di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu bersama 40 waris. Sesi
penerangan itu juga dihadiri oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk
Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
“Saya tak tahan dengar dan terus balik,” katanya.
Pada sidang media selepas pertemuan itu, Hamzah yang
juga Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370
berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Waris
Penumpang berhubung bantuan kewangan yang diperlukan dalam masa terdekat.
Hamzah berkata, perkara itu adalah antara isu utama
yang dibangkitkan dalam pertemuannya dengan waris yang dilakukan pada sebelah
pagi.
Beliau juga mengumumkan kerajaan sedang
mempertimbangkan satu tarikh untuk mengumumkan pengesahan beberapa isu
melibatkan penumpang dan anak kapal pesawat itu.
0 Response to "Airlines Malaysia MH370: Isteri Pramugara Luah Perasaan, Yakin Insiden Satu KOMPLOT"
Post a Comment