5 Kebaikan Bayi Merangkak Yang Ibu-Bapa Perlu Tahu. Banyak Manfaat!



Kebaikan Bayi Merangkak

Anak-anak di dalam lingkungan umur di bawah 7 tahun adalah anak-anak yang diumpamakan seperti span. Mudah menyerap apa sahaja yang mereka belajar melalui permainan dan aktiviti, membaca melalui buku dan apa jua yang didedahkan kepada mereka. Anak-anak yang banyak menghabiskan masa dengan gajet dan tidak diberikan masa yang sangat cukup untuk bermain tidak mendapat stimulasi yang mencukupi dalam perkembangannya.

Soalan tentang bayi merangkak

Ramai yang bertanya, bayi merangkak umur berapa bulan? Bayi merangkak atau duduk dulu? Kenapa bayi mengesot dulu? Normalkah kalau bayi merangkak mundur atau ke belakang? Namun, ramai yang tidak bertanya, apakah kebaikan bayi merangkak? 


Aktiviti merangsang minda

Satu kajian yang dilakukan oleh American Academy of Pediatrics menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berumur di bawah umur 2 tahun perlu dihadkan waktu mereka menonton televisyen mahupun menggunakan komputer dan gajet. Jadi, bagaimana kita mengisi masa mereka setiap hari? Sudah tentu dengan permainan dan aktiviti yang merangsang minda dan membantu perkembangannya.

Pernahkah anda membaca kisah seorang abang berusia 4 tahun terlanggar adik sendiri yang berumur 2 tahun ketika beliau sedang asyik bermain stereng kereta bapa mereka? Sedang terlalu asyik, tiba-tiba kereta melantun ke hadapan dan melanggar adik yang sedang memakai selipar untuk turut serta bersama abangnya.


Anak berimaginasi
Anak kecil ini mungkin memandang kereta bapanya seperti kereta Ferrari merah yang sangat menawan. Ia pasti sangat laju. Berimaginasi membawa kereta bersama adik pasti sesuatu yang sangat menggembirakan. Mana mungkin tergamak untuk kita memarahinya sedangkan itu yang berada di dalam fikiran mudanya.

Itulah anak! Anak yang dilahirkan berimaginasi tinggi dan sangat kreatif. Jadi kita berperanan untuk memberikan mereka ruang yang secukupnya untuk mereka berimaginasi, bermain dengan selamat dan dapat belajar dari permainannya.
Zaman pula semakin berubah. Dahulu ketika kita tidak ada gajet seperti PSP mahupun iPad, alam sekeliling seperti pokok, padang rumput, daun, ranting kayu, pasir dan tanah menjadi barang permainan anak-anak di ketika itu. Namun kini, anak-anak hanya berada di bilik dan tidak banyak bergerak mahupun berkomunikasi.


Sibuk dengan kerja

Ditambah pula ibubapa kini yang sibuk dengan kerjaya masing-masing, tugas dan peranan ibubapa speerti digantikan oleh gajet-gajet canggih ini. Kita tidak mahu anak-anak seperti robot yang tiada perasaan, dan tidak berkomunikasi dengan baik.

Amat besar peranan kita bagi memastikan anak-anak kita terdidik dengan baik dan mempunyai hubungan yang akrab dengan ibubapa. Mereka adalah amanah terbesar kita untuk kita bentuk dan jadikan sebagai generasi yang bakal berbakti kepada agama
Jadi, bagaimana kita memberikan mereka rangsangan atau stimulasi yang sepatutnya? Ramai ibu bapa yang sangat teruja mahu melihat anak berjalan, maka ramai juga yang membelikan baby walker agar anak berjalan lebih awal.

Pentingnya Bayi Merangkak


Pentingnya Merangkak

Cepat betul anak saya berjalan. Dia tak merangkak pun, terus berjalan.

Begitulah kata seorang ibu kepada saya suatu ketika dulu. Namun adakah ia petanda yang baik jika anak tidak merangkak? Ianya sangat subjektif. Mungkin ada yang tidak merangkak semasa bayi, namun dia membesar normal seperti anak-anak yang lain. Sebelum membuat andaian, apa kata kita baca sebuah kajian yang telah dibuat di Amerika. Kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran, 75% daripadanya tidak matang sistem STNR – Symmetric Tonic Neck Reflex. Amat menakjubkan!

Rupanya Allah telah aturkan sebaik-baiknya perjalanan hidup serta perkembangan seorang manusia. Daripada ia lahir, kemudian belajar berguling, belajar merangkak, duduk dengan sokongan, duduk tanpa sokongan, bertatih, berjalan dan terus berlari.

Saya ingin fokus kepada peringkat merangkak. Subhanallah, merangkak bukan sekadar merangkak. Allah jadikan merangkak itu sebagai satu peringkat menguatkan otot-otot leher, bahu, tangan dan kaki.

Saya akan cerita lanjut lagi. Kepada anak yang berumur 4 hingga 6 tahun, masih relevan lagi untuk mereka bermain sambil merangkak untuk menguatkan otot-otot mereka. Di mana otot-otot ini bukan sahaja menguatkan skil motor kasar, namun merangkak juga dikaitkan dengan kemahiran menulis dan membaca kerana ia akan menguatkan juga skil motor halus.

Symmetric Tonic Neck Reflex

Berbalik kepada STNR. Apakah kaitannya dengan merangkak?

Sistem STNR membantu keupayaan seseorang itu menggerakkan bahagian atas dan bawah badannya. Sistem ini biasanya akan matang di antara usia 9 hingga ke 12 bulan. Apabila seorang bayi itu dapat mengawal kepala, tangan dan kakinya dengan baik, maka STNR anak tersebut telah matang.

Bagaimanakah STNR ini dapat dicapai dengan baik apabila tangan dan kaki bergerak secara bergilir selama 6 bulan. Jika STNR tidak berfungsi dengan baik maka perkara-perkara berikut akan berlaku kepada anak:

1- Koordinasi mata yang lemah
2- Kelemahan dalam meniru sesuatu tugas atau kelakuan
3- Kelemahan dalam meniru atau menulis semula apa yang dilihat di papan tulis apabila sudah masuk ke alam persekolahan
4- Tidak dapat fokus dengan baik.

Secara mudahnya, merangkak sangat memberi manfaat kepada bayi kerana:
1- Ia menguatkan otot-otot leher, tangan dan kaki
2- Pergerakan yang berulang-ulang kali akan merangsang neuron dan membenarkan otak mengawal bahagian kognitif di mana ianya sangat bagus untuk penumpuan dan memori.
3- Ia akan melatih koordinasi mata seorang bayi itu – di mana koordinasi mata sangat penting di masa hadapannya supaya dia mudah membaca dan menulis.
4- Merangkak juga dapat membangunkan penglihatan binokularnya kerana semasa merangkak seorang bayi akan melatih penglihatannya melihat jauh manakah jarak di sekelilingnya.
5- Apabila merangkak, ia mengerakkan kedua-dua kaki dan tangannya dan ini akan menguatkan lagi otak kiri dan kanannya.

Jom galakkan anak merangkak!


0 Response to "5 Kebaikan Bayi Merangkak Yang Ibu-Bapa Perlu Tahu. Banyak Manfaat!"

Post a Comment