Perkongsian luahan hati di
bawah bukan bertujuan untuk menghentam kakitangan awam. Tetapi untuk
menyedarkan golongan² berkenaan agar berhenti mencuri masa bekerja dengan
melakukan perniagaan sampingan yang menjejaskan kerja hakiki.
Perkara
ini bukanlah perkara baru, tetapi sudah sekian lama berleluasa dan semakin
menjadi-jadi. Baca luahan hati seorang rakyat yang kerap berurusan dengan
kerajaan:
"SAYA
bersetuju dengan luahan hati Akmar Hayati dari Putrajaya mengenai sikap
kakitangan awam yang makan dan minum tidak tentu masa pada waktu bekerja. Saya
juga merasa terpanggil untuk berbicara tentang etika kerja kakitangan awam yang
dilihat teruk berbanding dengan pekerja-pekerja swasta.
Mereka
ini bukan sahaja makan, minum tidak tentu masa, malah turut melakukan
urusan-urusan peribadi di waktu pejabat. Contohnya, berniaga, menjual pakaian,
kuih pada waktu pejabat.
Juga
datang kerja lewat, balik awal, ponteng kerja dan pelbagai lagi. Malah
sesetengah kakitangan awam turut keluar pejabat pada pukul 12.00 tengah hari
dengan alasan untuk mengambil anak sekolah dan masuk pada pukul 2.30 petang
selepas selesai menghantar anak ke sekolah KAFA.
Tidak
bolehkah urusan persekolahan anak ini diselesaikan dengan menggunakan khidmat
bas atau van sekolah untuk menghantar dan mengambil anak sekolah?
Sekiranya
perkara ini dilakukan pada setiap hari, ditolak waktu makan dan minum,
bersembang dan berbual kosong, membaca surat khabar, berapa jam sangatkah waktu
kerja yang berkualiti buat golongan ini?
Sesetengah
kakitangan awam juga sangat berkira apabila kebetulan datang awal setengah jam
dan balik lambat setengah jam, terus dibuat tuntutan kerja lebih masa. Tidak
fikirkah berapa banyak waktu yang telah dihabiskan untuk urusan peribadi?
Mengkhianati
amanah dengan menghabiskan banyak masa dengan minum atau membuat kerja tidak
berfaedah bermaksud makan gaji buta. Bila makan gaji buta ia akan menyentuh
pula persoalan apakah gaji yang diterima itu setimpal dengan kerja dan usaha
yang dilaksanakan?
Saya
tidak nafikan bukan semua anggota perkhidmatan awam bersikap begitu. Namun jika
sebahagiannya bersikap sambil lewa dan acuh tidak acuh, maka sudah pasti ia
akan menjejaskan imej dan integriti keseluruhan kakitangan awam itu sendiri.
Dicadangkan
juga agar ketua-ketua jabatan bersikap tegas menangani masalah-masalah yang
berlaku di kalangan kakitangannya sendiri.
Kita
perlu fikirkan adakah sumber pendapatan yang diperoleh halal untuk digunakan
bagi menyara kehidupan diri, isteri dan anak-anak? Bila sumber tidak halal
menjadi tunjang menyara kehidupan, maka keberkatan hidup itu secara
automatiknya ditarik oleh Allah SWT dan mengundang berlakunya gejala-gejala
negatif dalam diri seorang dan kelangsungan hidup keluarga yang ditanggungnya.
Perubahan
minda dan membuang sikap-sikap negatif amat perlu bagi seluruh warga
perkhidmatan awam. Barulah nanti kita layak dipanggil warga perkhidmatan awam
yang berintegriti, produktif, efisyen dan memiliki minda kelas pertama.
SUMBER: Forum Utusan Malaysia
0 Response to "KAKITANGAN AWAM BERNIAGA DI WAKTU KERJA"
Post a Comment