Pian Cecupak, Boy Iman, Nash Terima Gelaran Datuk Dari ‘Kerajaan Naning’


SIAPA sangka, aktor komedi, Pian Cecupak yang pernah mencetuskan kontroversi menerusi pengakuannya yang melakukan suntikan wajah, dikhabarkan telah dianugerahkan Darjah Jaksa Naning Melaka (D.J.N.M), dari Kerajaan Naning, yang membawa gelaran Datuk, baru-baru ini.

Meskipun gelaran itu menjadi pertikaian oleh segelintir pihak, namun Pian tetap bersyukur kerana dia terpilih menerima gelaran itu bersama dua rakan artis lain, iaitu penyanyi Boy Iman dan Nash.


“Terpulanglah orang nak cakap apa. Tapi saya sebenarnya banyak melakukan kerja-kerja amal bersama anak yatim, ibu tunggal dan juga jemaah masjid.


“Takkanlah segala benda, lebih-lebih lagi berkaitan amal saya nak hebohkan satu dunia. Saya melakukan kerja amal hanya kerana ALLAH SWT.


“Sesungguhnya hanya ALLAH SWT tahu apa yang saya buat sehingga mendapat kurniaan dan gelaran Datuk ini,” katanya yang kini banyak menghabiskan waktunya menyumbangkan keringatnya membantu golongan yang kurang bernasib baik selain menjadi orang yang bertanggungjawab menguruskan majlis-majlis keramaian bagi Kerajaan Naning.


Aktif berpersatuan


Walaupun sebelum ini pelakon Nurul Iman atau lebih dikenali dengan panggilan Boy Iman kurang menyerlah dalam industri seni, namun ia tidak membataskan pelakon ini untuk berjaya dengan cara sendiri.


Bersyukur dengan gelaran Datuk yang diterima, Boy berkata, ia bagaikan satu mimpi di dalam hidupnya. Malah dia tidak menyangka kerja amal yang dilakukannya sebelum ini menjadi faktor utama melayakkannya menerima gelaran Datuk.


“Saya terlibat dengan beberapa persatuan atau NGO. Antaranya Persatuan Insan Prihatin Malaysia di mana saya bertindak sebagai timbalan pengerusi.


“Menerusi persatuan saya banyak terlibat dengan pelbagai aktiviti, seperti projek amal bersama golongan gelandangan, anak yatim, orang-orang tua, ibu-ibu tunggal dan sebagainya,” katanya.


Menurut Boy, dia juga sering menjayakan program keraian yang melibatkan Kerajaan Naning.


“Sebagai artis, selain menghiburkan tetamu pada majlis-majlis keramaian, peranan saya juga memberi publisiti kepada Yang Amat Mulia dan menguruskan sesuatu majlis,” katanya.


Sementara itu, bagi Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias, gelaran yang diterima tidak membuatkannya mendabik dada. Jelas bekas vokalis kumpulan Lefthanded ini, dia masih seperti ‘Nash’ yang dulu.


“Biarpun telah diberikan gelaran Datuk, itu tidak membezakan siapa diri saya.


“Saya harap dengan penganugerahan ini, usaha saya untuk terlibat dalam kerja amal akan terus berterusan,” katanya yang turut aktif melakukan kerja-kerja amal. – Sinar Harian

0 Response to "Pian Cecupak, Boy Iman, Nash Terima Gelaran Datuk Dari ‘Kerajaan Naning’"

Post a Comment