Dr Mahathir akui mahu Najib jadi PM kerana kenang jasa Tun Razak



KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan beliau berusaha menjadikan Najib Tun Abdul Razak sebagai perdana menteri kerana mengenangkan jasa ayahnya, Tun Razak Hussein.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Tun Razak telah membantu beliau dengan memberikan jawatan menteri penuh selepas pilihan raya umum pada 1974 dan kemudiannya menjadi timbalan perdana menteri sebelum dilantik sebagai perdana menteri.

Katanya, kerana itu beliau mengenang segala budi yang telah dibuat oleh Tun Razak dengan membalasnya kepada anak dan cucu-cicitnya.

"Tun Razak merupakan idola dan mentor saya. Dialah yang terima saya masuk balik dalam UMNO biarpun ada orang tidak puas hati.

"Tentulah saya berterima kasih dan terhutang budi kepada Tun Razak, bila kita terkenang budi maka kita kena membalasnya kepada anaknya dan cucu cicitnya.

"Saya berhempas-pulas letaknya sebagai perdana menteri sampai bergaduh dengan Pak Lah (Abdullah Badawi). Saya tulis surat kepada Pak Lah supaya letak anak Razak ini sebagai timbalannya.

"Hakikatnya saya hendak membalas budi Tun Razak kepada saya," katanya ketika berucap dalam program Bicara Negarawan di sini, hari ini.

Dalam program tersebut, Dr Mahathir terus membangkitkan isu yang menyelubungi pentadbiran Najib melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibebani hutang.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak berniat untuk menganiaya Najib yang merupakan pilihannya sendiri, tetapi menegaskan perlu menegakkan kebenaran biarpun ia satu perkara yang sukar untuk dilakukan.

"Tetapi walaupun kita sayang, kita harus juga ambil berat tentang apa yang berlaku. Kita tidak boleh sayang satu orang sampai dia bunuh orang pun kita kata okey; dia kawan saya. Ini tidak ada kena mengena dengan siapa-siapa, saya hanya beri contoh.

"Kalau kita sayang kepada isteri pun, kalau isteri melakukan jenayah yang dahsyat, kita tak bolehlah terima pasal dia isteri saya," katanya.

Sebagai seorang bekas perdana menteri, Dr Mahathir berkata mempunyai menyatakan teguran walaupun sukar untuk diterima sesetengah pihak.

"Jadi kita harus ingat kawan kita, saudara mara kita mesti lakukan yang betul, jadi kalau dia tidak betul.

"Kita terpaksa kata tak betul walaupun terlekat dalam dada nak kata sesuatu kepada kawan dan orang yang mana kita kata mendapat banyak nikmat, saya mendapat nikmat banyak daripada Tun Razak, saya tidak mahu buat aniaya kepada anak dia, saya nak bantu anak dia," katanya.

Dr Mahathir sekali lagi mengulangi gesaannya supaya Najib melepaskan jawatan bagi mengelak UMNO dan BN hilang kuasa.

"Saya berpendapat dengan skandal macam ini, soal Altantunya dan bermacam lagi, saya fikir kalau Najib memimpin Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang, kita akan kalah.

"Tidak ada skandal ini pun, prestasinya tidak begitu baik," katanya.

Sementara itu ketika menjawab persoalan siapa yang layak mengganti Najib, Dr Mahathir berkata secara tradisinya, jawatan itu akan diserahkan kepada timbalannya.

"Secara tradisi, timbalan dialah (Muhyiddin) akan naik dan saya yakin timbalan dia tak akan buat macam dia sebab dia tahu kalau dia buat juga, orang akan jatuhkan dia," katanya.


Sumber: Astro Awani


0 Response to "Dr Mahathir akui mahu Najib jadi PM kerana kenang jasa Tun Razak"

Post a Comment