Ini tempat yang biasa orang kunjungi: A Famosa, Stadhuys, Kubu St. John, Bukit St. Paul, Jonker Walk, Malacca River Cruise, Menara Taming Sari, Muzim Maritim & Mini Malaysia. Seperti senarai tempat menarik di Selangor, senarai ini pasti menjanjikan sesuatu yang lain dari yang lain. Ada kalanya, tempat ini biasa kita lalu, tetapi tidak pernah singgah.
Jika anda mahu berehat seketika hujung minggu, dan memandangkan cuti sekolah yang bakal tiba, apa kata anda lapangkan dada dan merancang untuk ke beberapa tempat menarik di Melaka. Cuma 150km sahaja dari Kuala Lumpur. Bukannya jauh!
Sudah pasti ia tidak memerlukan kos yang tinggi tetapi faham-faham sajalah, anda barangkali terpaksa menempuh kesesakan lalulintas yang teruk. Biasanya, laluan keluar PLUS Ayer Keroh sangat sesak. Tetapi dengan perancangan yang rapi dengan menempah tempat penginapan lebih awal, keluar rumah lebih awal dan segala persiapan dibuat lebih awal, anda boleh mengelakkan kekecewaan dan betul-betul menikmati percutian anda di Melaka.
1. Masjid Kampung Hulu
Orang biasa akan ‘lalu‘ sahaja masjid ini. Jarang yang mahu singgah kecuali ingin menunaikan solat. Mungkin kerana kurang tempat letak kereta. Mungkin juga kerana macam tiada apa-apa yang istimewa. Untuk pengetahun, masjid ini dibina pada tahun 1728 semasa pemerintahan Belanda. Ia adalah masjid yang tertua di negara ini. Saya ulang sekali lagi, Masjid Kampung Hulu ialah masjid yang paling tua di negara ini. Gaya senibinanya yang unik adalah gabungan unik Sumatera, Hindu dan seni bina Barat. Hanya orang yang menghargai sejarah akan menghargai masjid ini sepenuhnya.
Bila melangkah masuk ke dalam masjid kecil ini, terasa bagai dibawa ke zaman silam. Dongakkan kepala di tengah-tengah ruang solat dan pandang bumbung. Bayangkan zaman Belanda tahun 1728 dahulu, nenek moyang kita antara penduduk Muslim yang masih kuat pegangan agamanya. Daripada masuk gereja, lebih baik masuk Masjid Kampung Hulu bukan?
Masjid Kampung Hulu 1980 |
Semua struktur kayu asal bangunan kecuali empat tiang utama dan struktur bumbung telah digantikan dengan konkrit. Dalam kawasan masjid, anda boleh mencari makam Sayyid Abdullah Al-Haddad, seorang guru agama yang terkenal, yang dianggap ramai sebagai Wali. Untuk sampai ke sini, boleh berjalan kaki sahaja dari Jonker Street.
2. Homestay Limastiga, Umbai
Limastiga tersenarai dalam entri tempat menarik di Malaysia. Walaupun bukan hotel dan beroperasi sebagai private homestay, ada juga yang memberikan 5 bintang untuk Limastiga.
Sangat sesuai untuk reunion dan gathering untuk kawan-kawan lama dan keluarga. Kalau ingin makan malan, restoran makanan laut yang banyak terdapat di Umbai hanya terletak 2-3 minit sahaja dari sini.
Nak booking kena cepat, kerana selalunya hujung minggu tempat ini penuh!
*Nota: Atas sebab-sebab tertentu, pihak pengurusan LimasTiga menyediakan Private Vacation Villa ini untuk pengunjung Muslim sahaja. Sila hubungi pihak LimasTiga untuk maklumat lanjut.
Maklumat lanjut: limastiga.blogspot.com & facebook.com/Limastiga
3. Desa Balqis, Kuala Linggi
Tempat menarik di Melaka yang seterusnya ialah Desa Balqis juga tersenarai dalam entri terdahulu berkenaan tempat menarik di Malaysia. Uniknya, setiap 10 rumah yang ada di sana diberikan nama seperti panggilan pada pakcik dan makcik kita. Ia termasuk Pak Long, Pak Ngah, Balqis, Mama Penghulu, Pakcik, Adik & Kakak, Nenek, Atuk , Pak Ndak.
Asyik kerja, kerja, kerja sahaja. Kerja banyak mana, tidak akan habis. Apa kata pergi jauh dari hiruk-pikuk kotaraya dan singgah di sini. Antara kerinduan yang sudah lama kita tidak rasai ialah, apabila waktu Subuh pula dikejutkan oleh kokokan ayam. Menarik?
Rupanya, ramai orang yang dalam perjalan JB-KL atau KL-JB yang sengaja singgah ke sini. Cari ketenangan katanya!. Tidak kurang juga yang memilih Desa Balqis untuk family day. Jangan tidak percaya, ada yang sambut Hari Raya Aidilfitri di sini juga.
Jika ada anak kecil yang boring dan tidak tahu mahu buat apa, biarkan mereka berendam di kolam renang. Padang pun sangat luas, biarkan sahaja anak berlari-lari di sana tanpa risau. Macam zaman kita dulu-dulu!
Sungguh, suasana bagaikan kampung zaman dahulu, di tepi Selat Melaka. Silangkan kaki dan tarik nafas dalam-dalam. Bayangkan kita di zaman Portugis atau Belanda, sambil melihat kapal-kapal besar nun di seberang sana. Sungguh mendamaikan.
Maklumat lanjut: desabalqis.com & facebook.com/DesaBalqis
4. Zoo Melaka
Baik, mungkin anda akan kata, “Eleh, kata tempat menarik? Ini zoo? Apa yang menarik kat sini?”. Usah terlalu cepat menghukum. Percayalah cakap kami, ini adalah tempat menarik di Melaka yang tidak patut ditinggalkan.
Tunggu dulu. Izinkan kami bercerita lebih lanjut. Zoo Melaka adalah taman zoologi 54 ekar yang terletak dekat dengan Lebuh Ayer Keroh di bandar Ayer Keroh. Lebih daripada 1200 haiwan daripada 215 spesies boleh didapati di Zoo Melaka.Kami senaraikan Zoo Melaka kerana ada sebab tersendiri. Bagi sesiapa dari Kuala Lumpur dan sudah melawat Zoo Negara di Hulu Klang banyak kali, anda patut datang ke sini. Walaupun ini pendapat peribadi, saya rasa Zoo Melaka lebih berbaloi-baloi.
Harimau pun ada banyak spesis di sini. Bila mengaum, bergegar satu zoo. Paling seronok ialah kanak-kanak!
Oh, lupa mahu beritahu. Di sini juga ada night safari. Tidak perlu sampai ke Singapore Zoo!
Akibat terlalu seronok di dalam Zoo Melaka ini, sedar tidak sedar, boleh ambil masa sehingga setengah hari!
Maklumat lanjut: melakazoo.com
5. Hajjah Mona Asam Pedas, Kota Laksamana
Tidak puas jika berkunjung ke Melaka jika tidak rasa masakan Asam Pedas. Asam Pedas Melaka memang terkenal di seluruh Malaysia dan sebenarnya terdapat restoran menarik yang menawarkan menu ini. Pergi sahaja ke bandaraya Melaka dan anda pasti melihat banyak restoran asam pedas yang menarik. Saya cadangkan agar anda berkunjung ke Asam Pedas Kota Laksamana ini.
Dari luar, kedai ini nampak biasa-biasa sahaja. Tidak ada dekorasi gah, tetapi sekali hirup asam pedas ini, mesti terangkat punya!
Yang paling istimewa di sini ialah Asam Pedas Daging Tetel. Mesti cuba!
6. Medan Ikan Bakar Muara Sungai Duyung
Mungkin tempat ini tidak sepopular Medan Ikan Bakar Umbai dan Alai. Mungkin kerana kurang promosi, walaupun ramai selebriti berkunjung ke sini. Kalau tidak percaya, boleh semak Facebook Page kedai ini. Ada juga yang kata, tidak nampak papan tanda dari tepi jalan.
Apa-apa pun, jika ingin pekena seafood di Melaka, boleh cuba di Medan Ikan Bakar Muara Sungai Duyung. Siput pahat pun ada di sini.
Tengok kicap untuk ikan bakar diperah dengan limau pun boleh buat kita terliur!
7. Coconut Shake Batu Berendam
Sumber dari orang asal Melaka, ini ialah alternatif kepada Coconut Shake Pantai Klebang yang terlalu ramai orang beratur dan tutup awal. Hinggakan tiada tempat duduk!
Ada juga yang kata, jangan jangan terkejut jika nampak ada drive-thru di sini.
Harganya pun murah, dan siap boleh tambah kelapa lagi. Kalau minum di situ, boleh order dan duduk sahaja. Nanti dia akan hantar ke meja. Kalau nak bungkus, memang kena beratur! Kalau lapar, boleh makan Yong Tau Fu dari dalam kedai.
8. Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil, Limbongan
Sebenarnya, bermacam-macam kuih ada di sini seperti goreng pisang, goreng keledek, landas/rengas, bidaran, ubi getok, cekodok pisang dan popiah goreng. Cuma yang paling popular ialah kuih keria. Keistimewaannya ialah ia disira dengan gula Melaka.
Rasanya sangat sedap kerana terasa keledeknya. Ada yang sanggup singgah sebelum balik ke Kuala Lumpur. Tukang goreng ialah Haji Jali sendiri, dan isterinya membantu dalam penyediaan kuih.
Tambahan: Ini tempat biasa, percutian wajib di Melaka
A Famosa
Sebut sahaja A Famosa, sudah pasti ramai yang terbayang Kota A Famosa yang dahulunya menjadi simbol kekuatan Kerajaan Melayu Melaka yang merupakan pelabuhan yang amat sibuk sehingga Melaka menjadi tumpuan pedagang dari seluruh pelusuk dunia. Ikon bersejarah negeri Melaka ini sering menjadi tempat tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Jangan lupa singgah di sini kerana A Famosa ialah satu simbol tempat menarik di Melaka yang wajib dikunjungi.
A Famosa Resort
Sudah penat ke A Famosa, apa kata kita ke A Famosa Resort pula. Jika anda sering melalui Lebuhraya Utara Selatan, sudah tentu anda boleh melihatnya dari tepi lebuhraya tersebut. Anda pasti tidak mahu lepaskan peluang untuk bermain di Taman Tema yang terdiri daripada Taman Air, Safari Wonderland, Old West serta Sukan dan Rekreasi.
Pantai Klebang
Tempat menarik di Melaka seterusnya, Pantai Klebang. Bagi mereka yang lebih menyukai keindahan pantai, anda akan disajikan dengan pantai yang agak bersih tetapi sentiasa penuh dengan orang ramai. Terdapat banyak hotel dan resort di sepanjang pantai tersebut mengikut kemampuan anda.
Pengkalan Balak
Jika anda mahu ke tempat yang tidak seramai Pantai Klebang, bolehlah ke Pengkalan Balak. Walaupun mungking tak sebersih dan tidak mempunyai kemudahan yang selengkap Klebang, tetapi ia juga lebih murah. Terdapat banyak chalet di sini dan sedikit privasi berbanding Klebang.
Percutian anda ke Melaka tidak akan lengkap tanpa merasai makanannya seperti Makanan Laut danCoconut Shake.
Dah kenyang makan asam pedas, apa kata anda ke Klebang untuk menikmati Coconut Shake pula. Klebang Coconut Shake dibuka pada waktu tengahari tetapi anda perlu bersiap-sedia untuk beratur panjang kerana ia amatlah sedap. Dah cuba sekali, pasti nak lagi. Jadi saranan saya, belilah lebih daripada perlu beratur lagi sekali untuk memuaskan nafsu anda.
Medan Ikan Bakar Umbai
Dan pada malam terakhir anda di Melaka, apa kata singgah di Medan Ikan Bakar Umbai bagi menikmati juadah makanan laut yang segar dan agak murah. Walaupun ianya terkenal dengan ikan bakar, tetapi di sini anda juga boleh menikmati udang, sotong, kupang, lala dan bermacam-macam lagi. Serius sedap dan walaupun ia sering penuh, anda tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan makanan dan minuman anda.
Melaka River Cruise
Juga jangan terlepas peluang menaiki Melaka River Cruise yang membawa anda bersiar-siar menaiki bot sambil bersantai. Saya pasti percaya anda akan menyukai perjalanan selama 45 minit ini dan anda dapat melihat bangunan-bangunan lama dan bersejarah. Sambil bersiar-siar menikmati pemandangan, anda juga dapat belajar serba sedikit tentang sejarah negeri Melaka.
Demikianlah di antara tempat-tempat menarik di Melaka. Ia boleh juga dikatakan destinasi bajet untuk seisi keluarga untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama tanpa perlu pergi jauh mahupun berbelanja besar.
Selamat bercuti!
0 Response to "Senarai Tempat Menarik Di Melaka, Yang Ramai Orang Tidak Tahu!"
Post a Comment